PULAU PINANG: Fahaman kumpulan ini ialah manusia tidak perlu lagi berpegang kepada agama, sebaliknya kepada nilai etika semata-mata (tiada survival tanpa etika) dan meletakkan semua agama sama taraf malah lebih tinggi daripada Islam.

Konsepnya ialah mengambil nilai-nilai murni yang terdapat dalam sembilan agama iaitu Hindu, Buddha, Yahudi, Kristian, Islam, Sikh dan kepercayaan Bahai dan disamaratakan.

Matlamatnya pula menerapkan semua nilai itu bagi memandu kehidupan manusia di dunia (global), iaitu dengan meletakkan bahawa survival dunia bergantung sepenuhnya kepada satu – Etika Global ini sahaja.Cetusan idea oleh ahli falsafah dan teologi Katolik Prof. Hans Kung ini mula diperkenalkan pada tahun 1989.



Bagi mengembangkan idea ini, beliau telah menubuhkan Yayasan Etika Global, yang kemudiannya diterima oleh Parlimen Agama-agama Dunia pada 4 September 1993.

Di Malaysia, usaha untuk mengembangkan fahaman ini telah dimulakan pada 2004 dengan sokongan Konrad Adenauer Foundation dan Malaysia Interfaith Network beribu pejabat di Suite 18-1, Tingkat 18, Menara Genesis, Kuala Lumpur.

Kini, fahaman itu mulai bertapak di Pulau Mutiara.Projek Etika Global Pulau Pinang (PEGPP) ini telah dirasmikan oleh Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang, T.Y.T Tun Dato? Seri Haji Abdul Rahman Abbas di USM-ABN-UMRO Pusat Seni dan Kraf, Lebuh Pantai pada 7 Februari lalu, yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin negeri.

PEGPP direka khusus bertujuan menanamkan falsafah ini kepada masyarakat melalui pelbagai strategi yang amat halus dan berkesan, iaitu:
1. Berselindung di bawah prinsip agama melalui pameran dan kursus bercorak keagamaan.
2. Mengggunakan etika yang boleh diterima umum.
3. Melibatkan jabatan kerajaan serta pemimpin tertinggi negeri.
4. Menyebarkan dakyah bahawa manusia tidak perlu berpegang kepada agama.Antara pendekatannya ialah mengedarkan risalah kepada pelajar sekolah, syarahan, forum, dialog, kembara dengan penglibatan jabatan-jabatan kerajaan negeri, Universiti Sains Malaysia (USM), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan lain-lain.

PEGPP berjaya mendapat pengiktirafan kerajaan negeri apabila mengisytiharkan ?World Religious Walks? di Jalan Masjid Kapitan Keling, sebagai ?The Street of Harmony?.Kawasan berkenaan menempatkan Masjid Kapitan Keling dan rumah ibadat berbilang agama lain, yang difokuskan sebagai sebagai kawasan harmoni kerana mengamalkan Etika Global.

Bantahan Majlis Agama Islam Pulau Pinang

Menyedari ancaman daripada PEGPP, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bertindak mengadakan mesyuarat tergempar pada 4 Mac lepas, yang melibatkan wakil jabatan dan organisasi daripada Timbalan Ketua Menteri, Mufti, Ketua Hakim Syarie, Timbalan Ketua Polis Negeri, Persatuan Qaryah Masjid, ABIM Pulau Pinang, Jabatan Pelajaran, Biro Tatanegara dan Jabatan Agama Islam.

Ekoran itu kertas laporan yang dinamakan ?Ancaman Etika Global Pulau Pinang? dikeluarkan.Laporan itu menyebut, PEGPP bertujuan memesongkan akidah umat Islam supaya tidak lagi berpegang kepada agama, tetapi hanya bergantung kepada nilai etika.

Konsep PEGPP menyamatarafkan semua agama, dan meletakkan Islam di bawah Etika Global hampir menyamai kumpulan yang giat berusaha memansuhkan Artikel 121 dalam Perlembagaan Persekutuan.Justeru, beberapa tindakan proaktif telah diambil MAINPP bagi mengekang fahaman ini daripada merebak, termasuk makluman melalui khutbah dan menyekat fahaman ini tidak merebak di institusi pendidikan.

Seorang guru agama di sebuah sekolah menengah berpendapat sepatutnya kerajaan membatalkan sahaja penubuhan PEGPP, tanpa perlu mengerah tenaga pendidik menentang kumpulan ini.?Mereka yang menabur najis, mengapa kami diarah cuci,? katanya yang enggan namanya disiarkan.
sumber:kini2u.blogspot.com

Komen: Sekarang ini sudah tidak digembar-gemburkan lagi tentang Etika Global ini. Ehmmm... adakah mereka sudah benar-benar tidak bergiat aktif mencanang idea mereka ini atau sedang menyusun strategi untuk menggegarkan Malaysia? fikir-fikirkan...

Read More
INSTITUSI masjid diakui sebagai medan dan lambang tertegaknya syiar Islam. Ia adalah tempat mulia lagi suci yang wajar diberikan perhatian selayaknya kerana selain tempat ibadah, di sinilah pusat pengembangan ajaran Islam, lokasi perhimpunan perpaduan umat serta institusi penyebaran ilmu kehidupan dunia dan akhirat.

Abu Muhammad Ala’uddin (2006) dalam bukunya bertajuk Kemuliaan Masjid Anjuran Solat Berjamaah dan Memakmurkannya menyuarakan beberapa cara mengimarahkan masjid antaranya mendirikan masjid di kawasan dirasakan perlu untuk memudahkan umat Islam bersolat jemaah.

Menolong dan memberi bantuan kepada kepada masjid yang sudah didirikan, memuliakan masjid dengan menggalak dan mengadakan majlis ilmu didalamnya serta menjaga dan melaksanakan peraturan dan adab ketika di masjid.



Remaja dan tarbiah adalah suatu yang tidak dapat dipisahkan. Fungsi masjid sebagai pusat tarbiah remaja adalah untuk membangun jati diri dan kepemimpinan muda untuk masa hadapan. Jati diri seorang insan sebenarnya boleh dibentuk menerusi latihan kepemimpinan yang akhirnya membentuk fikrah pemimpin Islam.

Lantas, terbentuklah idealisme pimpinan Islam yang mampu membawa agama suci menuju kecemerlangan. Jati diri tidak semestinya terbentuk melalui ibadat solat dan mendengar khutbah semata-mata. Usrah dan program tarbiah kepemimpinan dianjur pihak masjid akan menyediakan pemimpin pelapis yang hebat menerajui tonggak kepemimpinan negara.

Program ilmu Usuluddin juga sepatutnya menjadi ilmu penting. Ia bagi meningkatkan kepercayaan remaja terhadap kewujudan dan kekuasaan Allah. Keyakinan inilah kelak menjadi benteng kepada segala ancaman akidah yang melanda remaja.

Hari ini ancaman akidah semakin berani mengasak minda remaja. Berapa ramai remaja Muslim yang cerdik berjaya dipesongkan akidah dan akhlaknya apabila berada jauh daripada keluarga. Justeru, masjid memainkan peranan menyediakan pengisian yang meningkatkan ketauhidan yang satu.

Sememangnya masjid muncul sebagai landasan melahirkan modal insan beriman dan bertakwa. Modal insan Islami yang ingin diwujudkan ialah kelompok intelek muda yang hebat mindanya tetapi rapat dengan masjid.

Bagi mewujudkan masjid yang mesra remaja, pihak pengurusan masjid dan surau harus melakukan anjakan paradigma serta minda. Remaja dan golongan muda harus disantuni dan diberi peluang melakukan aktiviti. Masjid kini bukan saja tempat ibadat tetapi bersifat pusat sehenti sosial Islam.

Setiap pentadbir masjid perlu memahami keperluan dan kehendak remaja setempat. Kehendak mereka mungkin berlainan berdasarkan status sosioekonomi serta latar belakang keluarga. Justeru, kehendak mereka dirai dan peluang disediakan supaya remaja tidak terasa disisihkan oleh masyarakat.

Penstrukturan semula jawatankuasa remaja dan belia perlu mengambil kira suara orang muda. Pandangan mereka diraikan, sebahagian daripada remaja dan belia dilantik sebagai sebahagian ahli jawatankuasa masjid. Ini peluang secara langsung untuk remaja menyampaikan idea.

Aspek kemudahan asas dilihat sebagai banyak membantu keperluan program latihan remaja di masjid. Antara kemudahan perlu disediakan (mengikut kemampuan) adalah ruang atau bilik rehat remaja, kemudahan bilik seminar, pusat sumber serta makmal komputer dan multimedia.

Jalinan dengan segenap ahli masyarakat perlu dititikberatkan. Ahli masyarakat kalangan profesional, ulama, pemimpin masyarakat perlu bersama dengan pihak masjid membangun sumber manusia muda ini.

Program secara kerjasama dengan jawatankuasa penduduk perlu kerap diadakan bagi mewujudkan suasana harmoni dan rasa tanggungjawab terhadap remaja.

Bagi memperkasakan masjid supaya mesra remaja, beberapa strategi pemantapan perlu diambil kira termasuk memperluaskan jaringan kerja antara pertubuhan bukan kerajaan Islam dan pihak masjid.

Penubuhan Kelab Remaja Masjid akan menjadikannya wadah untuk pihak pengurusan masjid dan remaja mengadakan aktiviti, berhimpun, bertukar idea di samping bertukar fikiran.

Perluasan fungsi masjid seperti menjadikannya pusat latihan dan khidmat kaunseling untuk masyarakat khususnya golongan remaja.
Read More
ORIENTALIS terkenal Itali, Profesor Dr. Laura Veccia Vaglieri (1893-1989) yang banyak menulis artikel mengenai Islam, pernah menulis mengenai Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, yang antaranya, "Semasa menyeru manusia supaya menyembah Allah Yang Maha Esa, Muhammad (Nabi) tidak pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia daripada berfikir mengenai kebenaran. Beliau (Baginda) tidak menggunakan pendekatan-pendekatan magis, yang memukau penglihatan dan tidak juga menyeru dengan menggunakan ancaman serta ugutan.

"Apakah yang beliau lakukan? Muhammad menyuruh mereka supaya menggunakan akal dan bertafakur mengenai kejadian alam dan rahsia kejadiannya. Dalam bahasa mudah, dia menyuruh mereka membaca "Buku Alam" dan berfikir mengenainya supaya dengannya mereka yakin pada kewujudan Ilahi."



Jika dalam bahasa yang terjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, Dr Vaglieri menyebut; "He simply called them to contemplate." Contemplate sama ada tepat atau layak untuk dirujuk, tetapi tentulah di sini dimaksudkan dengan berkhalwat, yang berasal daripada perkataan khulwah bermakna bersunyi-sunyian

Kisah Nabi Muhammad berkhalwat di gua Hira sebelum Baginda diperintahkan secara rasmi oleh Allah SWT menjadi seorang Rasul merupakan catatan sejarah yang sangat dipegang atau menjadi pengetahuan setiap umat Islam.

Ini kerana di gua itulah Nabi Muhammad menerima wahyu pertama, iaitu surah al-Alaq, ayat 1-3 yang disampaikan oleh malaikat Jibrail.

Menyendiri

Namun mengapa Nabi Muhammad lebih memilih untuk menyendiri di Gua Hira' sedangkan Baginda sudah mempunyai kehidupan yang cukup baik terutama selepas mengahwini Siti Khadijah dan dikurniakan putera dan puteri.

Mungkin kita pernah mendengar, kerana Baginda seorang yang bersifat pendiam, maka tidak menghairankan jika Baginda suka hidup menyendiri di Gua Hira' itu. Tetapi benarkah hanya kerana Baginda seorang pendiam?

Maka di sini, mungkin terdapatnya amalan-amalan yang harus kita dapat bezakan atau persamaan makna setiap satunya, iaitu sama ada beruzlah, berkhulwah, bertahanuth dan bertahanuf apabila merujuk kepada tindakan Nabi Muhammad yang mengasingkan diri itu.

Dari aspek kebudayaan itu sendiri, sebenarnya telah ada amalan yang menjadi kebiasaan orang-orang Arab pada masa itu, di mana golongan berfikir, mereka selama beberapa waktu pada setiap tahun menjauhkan diri daripada keramaian dan majlis-majlis untuk berkhalwat semata-mata mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka dengan bertapa dan berdoa.

Mereka mengharapkan agar diberi rezeki dan pengetahuan. Pengasingan untuk beribadat seperti ini mereka namakan bertahannuth.

Namun penulis sejarah Islam terkemuka, Hussein Haekal menyebut perbuatan Nabi Muhammad itu sebagai bertahannuf (asal perkataan tahannafa atau Hanif) iaitu perbuatan yang cenderung kepada kebenaran dengan meninggalkan penyembahan berhala dan beribadat kepada Allah semata-mata.

Maka jika dikatakan, Baginda seorang yang pendiam itu tetapi harus difahami sebagai keadaan Baginda banyak memberikan laluan kepada mindanya untuk berfikir daripada berkata-kata demi untuk mencari kebenaran.

Atas sifat fitrah dan akhlak Baginda yang bersih, Baginda melihatkan pelbagai kebejatan yang semakin hidup subur dalam masyarakat Arab. Melihatkan kepada segala urusan-urusan, aktiviti dan hal ehwal masyarakat itu menyebabkan Baginda semakin tidak mampu menerimanya.

Ini lebih-lebih lagi melibatkan soal penyembahan berhala, sebagaimana sejak usia kecilnya dan Baginda semakin jengkel dengan sembahan-sembahan yang palsu ini, sehinggakan tidak ada sesuatu yang paling dibenci oleh Baginda melainkan berhala-berhala itu.

Baginda tidak tahan mendengar orang bersumpah dengan menyebut nama al Lata dan al Uzza itu.

Tersayat pedih

Hati Baginda turut tersayat pedih mengenangkan bangsanya yang suka berjudi. Malah dikisahkan pada suatu hari di pasar Mekah, Baginda melihat sendiri seseorang yang berjudi.

Akibatnya si kaki judi itu kehilangan unta dan rumahnya sendiri kerana menjadi mangsa pertaruhan. Tidak cukup unta dan rumah, malah dia juga bertaruh akan kehilangan 10 tahun daripada hidupnya.

Apakah maknanya itu, sehingga begitu teruk sekali ketagihan berjudi menyebabkan bertaruh pada perkara yang tidak masuk akal!

Baginda sangat tergugat hatinya oleh peristiwa malang ini dan terus pergi ke bukit-bukit berdekatan dan duduk memikirkan kembali tabiat-tabiat buruk bangsanya itu. Baginda berfikir dan hairan atas kebodohan mereka yang tersesat jauh itu.

Kebodohan lain yang tidak mampu Baginda terima termasuklah minum arak dan tidak akan makan sembelihan-sembilan haiwan yang dikorbankan untuk berhala. Baginda juga tidak pernah datang untuk menyertai perayaan atau keramaian di tempat-tempat berhala itu.

Ini membawakan Baginda untuk memisahkan dirinya dengan tanpa sebarang gangguan di Gua Hira' di samping Baginda semakin tercari-cari akan rahsia alam, sebagaimana yang disebut oleh orientalis Itali itu tadi.

Gua Hira' terletak di Gunung atau Bukit Nur (Jabal Nur) iaitu kira-kira enam kilometer dari utara Kota Mekah tanpa ada sebarang tanda-tanda kehidupan manusia di situ.

Gua itu sendiri dikatakan yang mempunyai laluan masuk yang tidak lebih daripada tinggi manusia sahaja. Iaitu sebuah gua yang kecil yang sebahagian gua ini ditembusi cahaya, manakala sebahagian yang lain dalam keadaan yang sangat gelap.

Dikatakan di dalam gua itu hanya boleh memuatkan dua orang sahaja masuk ke dalamnya.

Dikatakan Nabi Muhamad akan memanjat atau mendaki laluan yang sukar dan curam semata-mata untuk berkhalwat di Gua Hira', iaitu hanya sepanjang bulan Ramadan setiap tahun.

Ini kerana pada masa-masa lain, seperti yang diceritakan oleh Haekal, Baginda sebenarnya sebagaimana anggota masyarakat yang lain, ada masa-masanya tetap bermasyarakat dengan para penduduk yang lain.

Bahkan Baginda lebih dihormati di tengah-tengah masyarakat itu. Ini disebabkan sifatnya yang suka merendah diri, bila ada yang ajak berbicara, Baginda akan mendengar tanpa menoleh kepada orang lain.

Bicaranya sedikit kerana lebih banyak mendengar. Tetapi apabila berbicara, Baginda akan berbicara bersungguh-sungguh namun tetap tidak lupa untuk berkata-kata yang lucu dan bersenda gurau.

Malah kadang kala Baginda ketawa sehingga menampakkan gerahamnya. Pendek kata, Baginda tetap bijak dan mudah bergaul. Ini menimbulkan rasa hormat yang tinggi di kalangan masyarakat Arab terhadap Baginda.

Ini sebagaimana Baginda berada di tengah-tengah masyarakat dalam peristiwa Majlis Tahkim atau La'aqat'd-Damm (jilatan darah) apabila Bani Abd'd-Dar dan Adi tidak dapat membenarkan kabilah yang lain untuk campur tangan dalam urusan meletakkan batu Hajaral Aswad (Batu Hitam) selepas Kaabah berjaya dibina semula selepas berlaku peristiwa Banjir Besar (Aram).

Namun timbul juga persoalan-persoalan berhubung tindakan Baginda meninggalkan isteri, keluarga dan masyarakatnya semata-mata untuk menyendiri dalam gua yang gelita dengan hanya membawa sedikit bekalan setiap hari.

Ibadat

Dalam melakukan ibadat selama dalam tahannuth itu, adakah Baginda menganut syariat tertentu? Dalam hal ini ulama-ulama berlainan pendapat. Dalam Tarikhnya Ibnu Kathir menceritakan sedikit tentang pendapat-pendapat mereka mengenai syariat yang digunakan oleh Baginda sepanjang berada dalam Gua itu.

Ada yang mengatakan menurut syariat Nabi Nuh, ada yang mengatakan mengikut Nabi Ibrahim, yang lain berkata menurut syariat Nabi Musa dan Isa as dan ada pula yang mengatakan tiada kepastian.

Mengikut Yunus Ali Al Muhdhor dalam bukunya, Kehidupan Nabi Muhammad SAW dan Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib R.A (Victory Agencie, KL 1993) syariat Nabi Muhammad ketika berada di gua Hira' itu adalah mengikut syariat Nabi Ibrahim kerana sesuai dengan persekitaran yang diwarisi oleh kebanyakan kaum keluarga Baginda.

Tetapi mengapa Baginda tidak melakukan sahaja uzlah di dalam Kaabah sahaja, sebagai rumah ibadat pertama dibina di muka bumi ini? Atau mengapa Baginda tidak berguru dengan ramai pendita-pendita Yahudi dan Nasrani seperti Waraqah Bin Naufal yang merupakan sepupu isterinya sendiri?

Read More